Monday, May 25, 2009

Sri Lanka beri syarat PBB masuk kawasan LTTE

Sri Lanka beri syarat PBB masuk kawasan LTTE


COLOMBO: Sri Lanka semalam berkata hanya akan membenarkan pekerja bantuan PBB menemui penduduk awam yang berada di kem selepas semua pemisah yang bersembunyi di kalangan pelarian terbabit dibawa keluar.

Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon dalam lawatan ke sebuah kem yang menempatkan 200,000 penduduk Tamil meminta kakitangannya dibenarkan untuk mencari mereka yang hilang tempat tinggal berikutan perang sejak berdekad itu yang berakhir seminggu lalu.

Ban yang melawat kemudahan Menik Farm kelmarin menyifatkan keadaan di sana sebagai terlalu sesak dan penduduk awam amat memerlukan makanan, air dan kemudahan asas.

Kerajaan sebaliknya hanya memberi maklum balas bahawa rayuan untuk membenarkan kemasukan agensi bantuan itu boleh dipertimbangkan sebaik saja keadaan semakin pulih.

Kenyataan Presiden Mahinda Rajapakse memberi amaran kemungkinan wujud kehadiran pemisah Harimau Tamil di kalangan pelarian terbabit yang memasuki kawasan kerajaan.

Kerajaan menyifatkan kem terbabit sebagai perkampungan kebajikan dan berkata, mereka akan menempatkan semula penduduk awam secepat mungkin tetapi aktivis Tamil berkata kem terbabit seperti menempatkan banduan yang dikelilingi kawat berduri. – AFP




LTTE sembunyi di kem pelarian



Pelarian Tamil di kem pelarian yang dipasang pagar duri melihat Ban Ki-moon yang sedang melawat kem berkenaan di Ladang Manik di pinggir bandar Vavuniya, utara Sri Lanka, kelmarin. - REUTERS


COLOMBO 24 Mei - Sri Lanka tidak membenarkan pekerja bantuan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memasuki kem-kem pelarian untuk membantu penduduk awam yang ditempatkan di situ, sehinggalah pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang bersembunyi di kalangan pelarian itu ditangkap.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon ketika mengunjungi sebuah kem yang menempatkan 200,000 penduduk awam Tamil telah menggesa agar kakitangan PBB dibenarkan memasuki kem pelarian.

Ki-moon yang melawat kem Menik Farm semalam menggambarkan keadaan sebagai sesak dan penduduk awam 'amat memerlukan makanan, air dan kemudahan kebersihan.'

Kerajaan Sri Lanka ketika menjawab permintaan Ki-moon itu supaya agensi bantuan PBB dibenarkan memasuki kem pelarian berkata: "Tidak ada halangan bagi agensi bantuan berkenaan (memasuki kem pelarian) apabila keadaan bertambah baik, terutamanya berhubung situasi keselamatan."

Presiden Mahinda Rajapakse dalam kenyataannya memberi amaran mengenai "kemungkinan pemberontak Harimau Tamil menyusup masuk dan bersembunyi di kalangan sejumlah besar penduduk awam yang datang ke kawasan perlindungan yang disediakan oleh kerajaan."

Kerajaan menggambarkan kem itu sebagai 'kampung kebajikan' dan merancang untuk menempatkan semula penduduk awam terlibat secepat mungkin.

Namun, aktivis Tamil menyifatkannya sebagai 'kem tahanan' yang dikelilingi dawai berduri.

Rajapakse memberitahu Ki-moon, beliau akan cuba menyelesaikan isu-isu etnik yang menjadi punca peperangan yang telah membunuh 80,000 hingga 100,000 penduduk di negara ini. - AFP

No comments:

Post a Comment