Monday, May 25, 2009

11 penonton terbunuh, 30 cedera dalam rempuhan

11 penonton terbunuh, 30 cedera dalam rempuhan

RABAT 24 Mei - Sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dan 30 lagi cedera dalam kejadian rempuhan penonton di festival muzik antarabangsa di Maghribi, semalam.

Seramai 70,000 penonton berada di stadium Hay Nahda untuk menyaksikan persembahan penyanyi pujaan mereka, Abdelaziz Stati sempena konsert Mawazine apabila kejadian itu berlaku.

Festival itu bermula pada 15 Mei lalu dengan upacara pembukaan oleh penyanyi pop Australia, Kylie Minogue.

Menurut jurucakap polis, rempuhan berlaku apabila pagar dawai runtuh akibat dibebani oleh ramai penonton.

Lima wanita, empat lelaki dan dua kanak-kanak ditemui mati.

Pasukan penyelamat bergegas ke tempat kejadian dan membantu menarik keluar mereka yang terselamat dan menghantar mereka yang cedera ke hospital Rabat.

Sumber hospital Rabat berkata, kebanyakan mereka yang cedera telah dibenarkan keluar awal hari ini, tetapi tujuh lagi masih dirawat.

Festival Mawazine dilancarkan pada 2001 dan merupakan salah satu perhimpunan budaya penting di Maghribi.

Seramai 1,700 penghibur asing dan tempatan menyertai festival muzik 2009 ini yang berakhir malam tadi. - AFP

No comments:

Post a Comment