Monday, May 25, 2009

Penghormatan terakhir Roh Moo-hyun Bekas Presiden Korea Selatan

Penghormatan terakhir



seorang wanita Korea Selatan memegang potret woman Roh Moo-hyun di kuil Jogye Seoul, semalam. - AP


GIMHAE, Korea Selatan 24 Mei - Beribu-ribu rakyat negara ini memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang bekas Presiden Roh Moo-Hyun, yang membunuh diri semalam selepas terjun dari lereng gunung di belakang kediamannya dekat kawasan selatan pedalaman.

Mayat pemimpin itu ditempatkan sementara di kampung halamannya dekat Gimhae, sehari selepas beliau yang dikenali sebagai 'Mr. Clean' terjun dari lereng gunung dengan meninggalkan sekeping nota di atas komputernya.

Beribu-ribu rakyat yang kebanyakannya menangis, membanjiri altar di kampung halamannya. Mereka turut membawa bunga dan membakar setanggi.

Segelintir daripada mereka pengsan apabila mendekati kerandanya, ketika sami-sami Buddha membaca doa.

''Hidup dan mati adalah sebahagian daripada proses semula jadi. Jangan salahkannya, ia adalah satu ketentuan,'' menurut nota yang ditinggalkan Moo-Hyun.

Rakyat yang berkabung turut memenuhi jalan-jalan di sekeliling altar yang dibina sementara di luar Istana Deoksu di Seoul yang dikawal ketat, ketika negara itu sedang cuba menerima insiden tersebut, yang pertama seumpamanya dalam sejarah moden Korea.

Kerajaan dan keluarga bekas Presiden itu masih belum memberitahu bila upacara pengkebumian akan diadakan.

Pemimpin-pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dan Perdana Menteri Jepun Taro Aso, turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Moo-Hyun dan rakyat Korea Selatan.

Sesetengah individu yang berpandangan kritis terhadap beliau menyifatkan, Moo-Hyun perlu terus hidup dan berdepan keadilan sebagai bekas Presiden ketiga Korea Selatan yang dituduh atas dakwaan rasuah selepas meninggalkan pemerintahan.

Sementara itu, polis masih belum mengesahkan insiden itu sebagai membunuh diri.

Moo-hyun, 62, yang juga bekas peguam hak asasi kemanusiaan berkhidmat sebagai Presiden dari 2003 hingga 2008.

Beliau dan keluarganya, bagaimanapun baru-baru ini telah terjerat dalam satu skandal rasuah yang meluas. - AFP

No comments:

Post a Comment