Monday, May 25, 2009

Obama ngaku fikir masalah Gitmo

Obama ngaku fikir masalah Gitmo

WASHINGTON 24 Mei - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengakui bahawa beliau sedang memikirkan langkah yang perlu diambil terhadap tahanan Teluk Guantanamo yang dianggap terlalu berbahaya untuk dibebaskan dan menjadi salah satu masalah terbesar yang dihadapi oleh AS.

Obama dalam wawancara dengan televisyen C-Span semalam membayangkan bahawa Parti Demokrat dan Parti Republikan perlu bekerjasama untuk mendirikan struktur undang-undang dan institusi bagi membolehkan tahanan Guantanamo dibicarakan.

"Situasinya rumit dan bukan mudah untuk menyelesaikan isu ini," kata Obama.

Beliau mendakwa masalah itu berpunca daripada "keputusan salah" yang diambil oleh pentadbiran George W. Bush dalam tempoh sejurus selepas serangan 11 September, 2001 "kerana rakyat berasa takut."

"Saya fikir kita mengambil terlalu banyak jalan singkat dan membuat beberapa keputusan yang bercanggah dengan prinsip kita sebagai rakyat Amerika," kata Presiden itu.

Obama berpendapat, ramai tahanan di Guantanamo sepatutnya dibicarakan awal-awal lagi, tetapi pentadbiran Bush gagal membicarakan mereka.

"Dalam sesetengah kes, bukti terhadap mereka telah terjejas.

"Mereka mungkin terlalu berbahaya untuk kita bebaskan. Saya fikir mencari jalan untuk menyelesaikan kes mereka akan menjadi salah satu masalah terbesar yang kita hadapi," ujar Obama.

Beliau, bagaimanapun menaruh keyakinan bahawa tahanan Guantanamo boleh dibicarakan oleh Suruhanjaya Tentera AS atau di mahkamah sivil AS. - AFP

No comments:

Post a Comment