Monday, May 25, 2009

Peguam sedia pertahan Suu Kyi

Peguam sedia pertahan Suu Kyi


ANGGOTA Rangkaian Demokratik Burma (BDN) melakukan bantahan di depan kedutaan China di Bangkok bagi meminta pembebasan Suu Kyi, semalam.

Kes perbicaraan tokoh demokrasi Myanmar dijangka bermula minggu ini

YANGON: Peguam bela pemimpin pro demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi bersedia untuk memulakan hujah mempertahankan tokoh itu minggu ini selepas pemenang hadiah Nobel Keamanan itu mengaku tidak bersalah pada sesi perbicaraan sebelum ini.

Prosiding tribunal penjara memasuki minggu kedua hari ini untuk mendengar dakwaan membabitkan ikon demokrasi itu yang dituduh melanggar perintah tahanan kediaman selepas seorang rakyat Amerika Syarikat berenang merentasi tasik berhampiran rumah beliau dan bermalam dua hari.

Nyan Win, jurucakap Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) dan juga anggota pasukan perundangan beliau berkata, pendakwa dijangka memanggil saksi terakhir minggu depan. "Kami jangka kes pembelaan akan bermula minggu ini," kata Nyan Win.

"Pada masa ini, kami menyiapkan senarai saksi dan bersedia untuk apa yang diperlukan esok (Isnin)," katanya.

Beliau berkata, perbicaraan akan mengambil masa dua minggu sebelum keputusan dibuat. Perbicaraan dijalankan di penjara Insein, tempat Suu Kyi ditahan.

"Kami akan menang berdasarkan kepada undang-undang. Sama ada beliau dibebaskan atau tidak adalah perkara lain," kata Nyan Win.

Tempoh terbaru enam tahun tahanan kediaman Suu Kyi, 63, akan tamat Rabu ini dan rejim tentera belum memutuskan sama ada akan meneruskannya.

Beliau sehingga kini sudah menghabiskan kebanyakan masanya dalam tahanan kediaman sejak 19 tahun lalu dan pengkritik berkata, dakwaan terhadap beliau yang boleh membawa hukuman penjara lima tahun adalah cubaan junta untuk menghalang beliau bertanding pilihan raya tahun depan.

"Saya tidak nampak bahawa pihak berkuasa akan melanjutkan tahanan (di kediaman beliau) sekali lagi. Mereka tidak boleh mene-ruskannya mengikut undang-undang," katanya sambil menambah bahawa di bawah undang-undang keselamatan Myanmar, seseorang hanya boleh ditahan selama lima tahun di kediaman.

Sementara itu, isu demokrasi di Myanmar, terutamanya perbicaraan Suu Kyi menarik perhatian ramai anggota mesyuarat Menteri Luar Asia-Eropah (Asem) ke sembilan di Hanoi, hari ini.

Isu Myanmar tidak termasuk di dalam agenda rasmi mesyuarat tetapi pegawai-pegawai kanan berkata bahawa sebahagian negara anggota dari Eropah akan membangkitkan perkara itu semasa sesi perkembangan rantau dan antarabangsa. � Agensi

No comments:

Post a Comment