Monday, May 25, 2009

Penduduk Mongolia mengundi

Penduduk Mongolia mengundi


seorang pengundi warga emas Mongolia mengundi di sebuah pusat pengundian di Bayanzurkh dalam daerah Ulan Bator, semalam. - AP


ULAN BATOR 24 Mei - Pusat-pusat pengundian dibuka di seluruh Mongolia hari ini bagi membolehkan negara itu memilih Presiden baru, kurang setahun selepas dakwaan berlaku manipulasi undi pada pilihan raya Presiden yang lalu, sehingga mencetuskan rusuhan maut.

Rakyat kebanyakannya warga emas yang berpakaian sutera tradisional, beratur di pusat-pusat pengundian di ibu negara Mongolia, di sini, seawal pukul 7 pagi waktu tempatan (7.15 pagi waktu Malaysia) untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

Pilihan raya Presiden kali ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara penyandang jawatan, Presiden Nambaryn Enkhbayar daripada Parti Revolusi Rakyat Mongolia (MPRP) dan Tsakhiagiin Elbegdorj, bekas pemimpin pembangkang utama daripada Parti Demokrasi (DP).

Pilihan raya di Mongolia, salah sebuah negara demokrasi termuda di dunia, sering kali dikaitkan dengan penipuan dan rasuah.

Pada pilihan raya Presiden tahun lalu menyaksikan rusuhan berdarah di Ulan Bator yang mengakibatkan lima terbunuh.

Kekacauan itu mengejutkan rakyat Mongolia yang megah kerana negara mereka bangkit daripada fahaman komunisme sejak 19 tahun lalu selepas satu revolusi aman tanpa sebarang pertumpahan darah.

''Saya harap tidak akan berlaku rusuhan kali ini,'' kata seorang pesara, Garda, 75, yang berhasrat mengundi Enkhbayar.

Enkhbayar melakukan tugas dengan baik dalam masa empat tahun lalu dan beliau memerlukan masa bagi melengkapkan apa yang telah dimulakan, ujarnya.

Pada pilihan raya kali ini, buat kali pertama rakyat Mongolia perlu menyertakan kad undian khas apabila memasuki bilik pengundian beserta dokumen pengenalan diri dalam usaha mencegah cubaan penipuan.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Yayasan Asia, sebanyak 27 kumpulan pemerhati dari Amerika Syarikat (AS) dan agensi-agensi antarabangsa meronda di sekitar bilik-bilik pengundian di Ulan Bator.

Pusat pengundian dijangka ditutup pada pukul 10 malam ini waktu tempatan (10.15 malam waktu Malaysia). - AFP

No comments:

Post a Comment