Tuesday, May 26, 2009

Korea Utara lancar ujian nuklear

Korea Utara lancar ujian nuklear



TAPAK ujian pelancaran misil Korea Utara yang dikesan satelit 2009 GeoEye-1 pada 5 April lalu. - Foto Reuters

Obama bimbang dan menggesa tindak balas masyarakat antarabangsa

PYONGYANG: Korea Utara berjaya mengadakan ujian letupan nuklear bawah tanah pagi semalam, menyebabkan gempa bumi buatan berukuran 4.7 pada skala Richter dan mengesahkan kedudukannya sebagai kuasa nuklear terbaru dunia.

Ia turut melaporkan menembak misil jarak dekat. Ujian itu dilihat sebagai provokasi besar tidak sampai dua bulan selepas negara itu melancarkan roket yang dipercayai ujian teknologi misil jarak jauhnya.

Ujian itu juga mendorong Presiden Barack Obama segera memberi amaran tindakan negara komunis itu 'amat membimbangkan kepada semua negara' dan menggesa tindak balas masyarakat antarabangsa.

"Korea Utara secara langsung dan tidak berhati-hati mencabar masyarakat antarabangsa. Tindak-tanduk negara itu meningkatkan ketegangan dan menggugat kestabilan di Asia Timur," katanya.

Perdana Menteri Britain, Gordon Brown, turut mengutuk pengumuman Korea Utara itu. Jepun, yang terletak dalam jarak roket Pyongyang, turut mengambil tindakan sama.

"Jika Korea Utara melancarkan ujian nuklear, ia jelas melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Kami tidak akan bertolak ansur mengenainya," kata ketua jurucakap kerajaan, Takeo Kawamura, kepada wartawan di Tokyo.

Korea Utara, yang meradang dengan kritikan Majlis Keselamatan berhubung pelancaran roketnya pada 5 April lalu, memberi amaran bulan lalu ia akan memulakan semula program nuklearnya, mengadakan ujian atom dan melancarkan ujian misil jarak jauh.

Agensi Berita Pusat Korea semalam menyifatkan ujian itu sebagai usaha meningkatkan program nuklearnya untuk mempertahankan diri. Ia dibuat beberapa minggu selepas negara itu mengancam memulakan semula program atomnya.

Russia, yang berkongsi sempadan dengan Korea Utara, mengesahkan kemudahannya mengesan ujian nuklear timur laut negara itu, lapor agensi berita ITAR-Tass, memetik kenyataan pegawai Kementerian Pertahanan Russia yang tidak dinamakan.

Pakar gempa bumi dari Amerika, Korea Selatan dan Jepun melaporkan gempa bumi di wilayah timur laut, lokasi sama Korea Utara mengadakan ujian nuklear pada 2006.

Gempa bumi berukuran 4.7 pada skala Richter didaftarkan di timur laut Korea Utara pada jam 9.54 pagi waktu tempatan semalam, kata Tinjauan Geologikal Amerika. – Agensi

Tentera wanita Britain dibenar sertai perang

Tentera wanita dibenar sertai perang


LONDON: Tentera wanita Britain tidak lama lagi akan dapat bersemuka dengan musuh tenteranya jika satu larangan yang tidak membenarkan wanita berkhidmat di medan perang ditarik balik buat kali pertama.

Dalam memastikan undang-undang sama hak diperluaskan di Britain, pihak berkuasa tentera mempertimbangkan untuk membenarkan tentera wanita menyertai unit yang pada masa ini hanya dianggotai lelaki dalam misi berisiko termasuk berhadapan barisan musuh.

Menteri pasukan bersenjata, Bob Ainsworth berkata satu kajian baru akan diputuskan sama ada untuk menarik balik larangan yang sejak sekian lama dikenakan terhadap tentera wanita, tentera laut dan tentera udara daripada terbabit dalam unit peperangan.

Kajian berkenaan dibuat selepas satu penilaian hak persamaan jantina di kalangan masyarakat Britain termasuk langkah untuk mengurangkan jurang gaji antara lelaki dan wanita dan menggalakkan tindakan lebih tegas.

Kali terakhir Britain mengkaji peranan tentera wanita adalah pada 2002, apabila pihak berkuasa merumuskan bahawa wanita kurang mampu membawa peralatan berat, lebih terdedah kepada kecederaan dan mempunyai kadar kapasiti agresif yang rendah berbanding lelaki.

Malah mereka merumuskan bahawa unit membabitkan hanya lelaki itu lebih baik dan dapat bekerja dengan lebih berkesan.

Bagaimanapun Brigadier Richard Nugee berkata bahawa pengalaman perang sejak beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan bahawa andaian berkenaan perlu dikaji semula.

"Sebenarnya pada masa ini kami mempunyai pengalaman praktikal wanita di medan perang di Afghanistan dan Iraq dan kami ingin melihat sebenarnya kesan terhadap tentera kami," katanya kepada BBC.

"Ini adalah satu pandangan yang terbuka. Kita belum ada rumusan lagi."

Hanya Israel dan bekas negara Kesatuan Soviet yang mempunyai pasukan tentera wanita di medan perang dalam sejarah moden walaupun Israel tidak lagi menghantar wanita di barisan hadapan sejak 1948.

Amerika Syarikat sendiri tidak membenarkan wanita berkhidmat dalam unit infantri atau pasukan tentera khas. – AP

Macam-macam: Peluang besarkan buah dada, sedut lemak

Macam-macam: Peluang besarkan buah dada, sedut lemak


PRAGUE: Sebuah klinik yang kekurangan kakitangan di Prague ada cara tersendiri untuk menarik lebih ramai jururawat menyertai mereka dengan menawarkan peluang membesarkan buah dada, sedut lemak dan mengempiskan perut sebagai bonus.

Jururawat, doktor dan setiausaha yang bersetuju untuk bekerja dengan klinik swasta kecil itu selama tiga tahun boleh memilih rawatan pembedahan plastik percuma yang diinginkan mereka.

“Ia benar-benar berjaya,” kata Jiri Schweitzer, pengurus di klinik Iscare, dan menambah klinik sudah cukup kakitangan. - AFP

BRITAIN : Ahli Parlimen seleweng bakal disingkir - Cameron

Ahli Parlimen seleweng bakal disingkir: Cameron

Usaha terancang banteras salah guna kuasa di Britain

LONDON: Satu penyingkiran besar-besaran Ahli Parlimen veteran mungkin terjadi dalam pilihan raya nasional Britain akan datang berikutan kemarahan umum berhubung skandal tuntutan perbelanjaan, kata pemimpin pembangkang David Cameron, ketika kajian baru menganggarkan lebih 30 Ahli Parlimen mungkin terpaksa disingkirkan.

Cameron, yang mengarahkan sesetengah Ahli Parlimen dari Parti Konservatifnya meletak jawatan berhubung tuntutan perbelanjaan melampau, berkata kelmarin muka baru diperlukan untuk membina semula keyakinan dalam sistem politik Britain.

Konservatif jauh mendahului undian pendapat Parti Buruh pimpinan Perdana Menteri Gordon Brown dan dijangka secara meluas meraih kuasa dalam pilihan raya akan datang, yang perlu diadakan menjelang Jun 2010.

Cameron berkata, beliau akan membuka semula senarai calon yang sudah disediakan partinya sebelum pilihan raya akan datang, bagi membenarkan mereka yang sebelum ini tidak terbabit dalam politik menjadi calon.

"Mereka mungkin tidak ada kena mengena dengan parti sebelum ini. Namun saya menyatakan, jika anda percaya dengan perkhidmatan awam, jika anda berkongsi nilai kami, jika anda mahu membantu kami membersihkan politik, datang dan jadilah calon Konservatif," kata Cameron kepada Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).

Colin Rallings, pengarah pusat data pilihan raya Universiti Plymouth, memberitahu akhbar The Sunday Times, analisis baru mencadangkan seramai 325 daripada 646 pembuat dasar Parlimen Britain boleh meletak jawatan atau disingkirkan oleh pengundi sebagai kesan skandal terbabit.

Beberapa individu termasuk pengacara televisyen Britain, Esther Rantzen, mencadangkan mereka bertanding dalam pilihan raya akan datang sebagai calon Bebas bagi membantah skandal itu.

Di Britain, pihak berkuasa parti tempatan memilih calon, selalunya memilih mereka yang tidak mempunyai kaitan dengan daerah yang akan ditandingi mereka. Sesetengah pihak mencadangkan agar diperkenalkan sistem perhimpunan primary memilih calon seperti di Amerika Syarikat.

Akhbar The Daily Telegraph juga melaporkan kelmarin kira-kira 200 Ahli Parlimen melantik anggota keluarga sebagai kakitangan membenarkan mereka mengenakan bayaran perbelanjaan rutin isi rumah pelbagai kepada pembayar cukai.

Beberapa hari pendedahan memalukan mendedahkan bagaimana Ahli Parlimen menggunakan wang awam untuk membersihkan parit, membaiki gelanggang tenis, membayar sangkar burung, menghiasi rumah kedua dengan mewah atau menuntut sejumlah besar wang untuk pinjaman gadaian. Kebanyakan tuntutan itu sah di sisi undang-undang namun sesetengahnya seperti bayaran tuntutan gadaian bagi gadaian yang sudah dilangsaikan, mungkin mencetuskan dakwaan jenayah. – AP

Taliban tak serang Lembah Swat

Taliban tak serang Lembah Swat


Penunjuk perasaan melaung slogan membantah operasi tentera di Lembah Swat di Karachi, kelmarin.

ISLAMABAD: Militan Taliban tidak akan menyerang anggota tentera di bandar utama Lembah Swat untuk mengelak tercetusnya pertempuran yang mengakibatkan kematian penduduk awam dan kemusnahan, kata jurucakap pergerakan itu.

Pengumuman itu semalam dilihat tentera sebagai petanda militan 'berdepan kekalahan' tetapi jurucakap Taliban, Muslim Khan, menafikan ia desakan gencatan senjata dan berkata militan tidak akan berundur dari Mingora.

"Ini satu perang yang panjang dan kami akan menempuhinya dengan strategik. Kami akan terus berjuang sehingga sistem Islam dikuat kuasa," katanya lewat kelmarin daripada satu lokasi rahsia di Swat.

Pakistan memulakan serangan lewat bulan lalu terhadap militan di wilayah barat laut itu selepas mereka tidak mengendahkan syarat gencatan senjata. Sekutu Barat Pakistan, yang bimbang negara itu diancam Taliban, menyambut baik operasi itu.

Hampir 1.9 juta penduduk meninggalkan lembah berkenaan dan daerah sekitarnya tetapi sehingga 20,000 masih berada di Mingora, yang dimasuki tentera kelmarin selepas mengepungnya. Kebanyakan daripada 4,000 militan di lembah itu dipercayai berada di bandar berkenaan.

Seorang penduduk di luar bandar raya itu berkata, 3,000 orang masih terperangkap di kawasan penempatannya dan menderita.

"Kami tiada makanan, air dan ubat. Kami tidak ada doktor atau hospital untuk pergi," kata Liaqat Ali.

Khan berkata, pejuang tidak akan bertempur dengan anggota tentera di Mingora kerana 'melihat apabila tentera membalas serangan mereka selalu membunuh penduduk awam.'

"Serangan mereka selalu merosakkan harta awam. Kami tidak mahu itu berlaku," katanya.

Jurucakap tentera, Mejar Jeneral Athar Abbas, semalam berkata militan menggunakan helah untuk melarikan diri.

Katanya, operasi di bandar raya itu akan diteruskan seperti dirancang. Komander berkata, mereka menyasarkan untuk menghapuskan Taliban di lembah itu dan Jumaat lalu menegaskan, sebarang bentuk gencatan senjata mungkin tidak akan dipersetujui. – AP

FILIPINA : Penumpang feri karam dakwa tak diberi bantuan

Penumpang feri karam dakwa tak diberi bantuan



SEORANG budak lelaki memerhatikan feri separuh karam di Pulau Mindoro ketika pasukan pengawal pantai mencari kapten dan pemilik kapal berkenaan, Sabtu lalu.

MANILA: Pihak berkuasa Filipina menyiasat dakwaan sekumpulan krew dua kapal yang dilaporkan lalu dekat sebuah feri yang karam tanpa memberi bantuan manakala beberapa penumpang merakamkan gambar kejadian.

Sekumpulan 12 orang termasuk seorang pelancong Jepun lemas dalam kejadian Sabtu lalu apabila gelombang besar menyebabkan feri beroperasi antara pulau karam berhampiran pantai peranginan Puerto Galera di tengah Mindoro.

Krew dan kapten feri terbabit adalah antara 48 yang terselamat tetapi melarikan diri bersama pemilik berikutan pihak berkuasa memulakan siasatan dengan memberi tumpuan kepada kemungkinan kapal berkenaan lebih muatan.

Penyiasat turut mengenal pasti dua kapal penumpang lain yang didakwa lalu dekat tempat kejadian di mana kapal terbabit karam tetapi tidak berhenti membantu dan akan menyoal siasat krew kedua-dua feri terbabit, kata ketua pengawal pantai, Wilfredo Tamayo. Pihak berkuasa bagaimanapun tidak mendedahkan nama kedua-dua kapal terbabit.

Seorang mangsa yang terselamat, Ramon Eugenio, yang kehilangan anak lelakinya berusia dua tahun dan anak saudaranya dalam kejadian itu memberitahu Philippine Daily Inquirer bahawa beliau berharap kedua kapal berkenaan melemparkan jaket keselamatan tetapi sebaliknya penumpang kapal terbabit sekadar mengambil gambar serta video sebelum meneruskan perjalanan.

"Saya tidak tahu jika mereka juga bimbang terlebih muatan," katanya kepada akhbar berkenaan.

Beberapa pegawai pengawal pantai ditukarkan dari jawatan mereka sementara siasatan lanjut kerana kegagalan memeriksa feri manakala tujuh syarikat feri digantung perkhidmatan, kata Ramayo. – AP

Harimau bintang merayau di pekarangan kediaman PM Pakistan

Harimau bintang merayau di pekarangan kediaman PM Pakistan


ISLAMABAD: Pemburu di Pakistan cuba menangkap seekor harimau bintang yang merayau di pekarangan kediaman rasmi Perdana Menteri, Yusuf Raza Gilani, kata pegawai semalam.

Haiwan itu, mula dikesan di kamera litar tertutup, memasuki taman yang dikawal rapi itu lewat minggu lalu, mungkin untuk mencari mangsa seperti babi hutan yang turut merayau di kawasan itu.

“Ia besar,” kata jurucakap Perdana Menteri, Imran Gardezi, sambil menambah Gilani tidak meninggalkan kediaman itu dan menjalankan tugas seperti biasa.

Pegawai hidupan liar bersenjatakan damak penenang cuba menangkap haiwan itu. Mereka hampir berjaya mengepungnya kelmarin, tetapi ia berjaya melepasi dinding setinggi 1.8 meter dipasang dengan kawat duri di bahagian lain perkarangan itu, kata Gardezi.

Bagaimanapun, harimau bintang itu mungkin tidak berpeluang merayau dengan bebas lebih lama.

“Jika tidak dapat ditangkap hidup-hidup hari ini, mungkin arahan dikeluarkan untuk menembaknya,” kata Gardezi. - Reuters

Wanita Kota Singa tawan Everest lagi

Wanita Kota Singa tawan Everest lagi


SINGAPURA: Kumpulan kedua pasukan wanita Singapura semalam berjaya menjejakkan kaki di puncak tertinggi dunia, Gunung Everest.

Mereka menyusuli kumpulan pertama pasukan Singapura Natas (Natas Swet) yang mana mencatat sejarah Rabu lalu apabila menjadi pasukan wanita pertama Singapura menawan gunung setinggi 8,850 meter di Nepal itu.

Menurut satu kenyataan Persatuan Nasional Ejen-Ejen Pelancongan Singapura (Natas) semalam, kumpulan kedua terdiri daripada Joanne Soo, 39 tahun, dan Lee Peh Gee, 32 tahun, itu sampai di puncak Everest masing-masing pada jam 5.31 pagi dan 5.56 pagi.

Tiga rakan mereka yang mendahului mereka ialah Lee Li Hui, 27 tahun, Esther Tan, 26 tahun dan Jane Lee, 25 tahun.

Kumpulan itu menem-pa kejayaan selepas sembilan hari terlepas peluang pertama akibat angin kencang dan ribut salji. - Agensi

Dua kumpulan Sikh bergaduh

Dua kumpulan Sikh bergaduh


Pertempuran berdarah turut merebak ke wilayah utara India

VIENNA: Sekumpulan masyarakat Sikh bersenjatakan pisau dan sepucuk pistol menyerang dua penceramah di sebuah kuil di Vienna menyebabkan sekurang-kurangnya seorang maut dan 16 orang cedera.

Ia disusuli pertempuran membabitkan etnik yang sama di utara India.

Saksi berkata, sekumpulan lelaki berserban dan berjanggut menyerang pemimpin agama di kuil di ibu negara Austria itu menyebabkan pengikutnya bertindak mempertahankan guru terbabit.

Seorang daripada dua guru agama terbabit dilaporkan maut. Mereka dikenal pasti oleh diplomat India dan polis sebagai Nirajnan Das dan Sant Rama Anand.

Dalam kejadian di Vienna, sekumpulan etnik Sikh kelas bawahan diserang sekumpulan etnik Sikh kelas atasan yang menuduh penceramah terbabit menghina kitab suci agama mereka.

Jurucakap polis, Michael Takacs, berkata tempat kejadian seperti satu medan perang. Enam suspek sudah ditahan dan lebih ramai akan ditahan.

Mohnder Ram, seorang pengunjung yang menghadiri upacara di situ berkata kuil terbabit dikendalikan pengikut Shri Guru Ravidas, pengasas satu daripada ajaran Sikh digelar Dera Sach Khand pada kurun ke-14.

Sementara itu, di India, pertempuran membabitkan puak Sikh dan pengikut agama guru terbabit turut tercetus di utara Jalandhar beberapa jam selepas pertempuran di Vienna.

Sanjiv Kalra, seorang pegawai polis kanan di Jalandhar berkata penunjuk perasaan membakar sebilangan kenderaan dan menghalang jalan raya.

Beberapa saksi di Vienna pula menceritakan kejadian yang menyebabkan kekecohan itu.

"Semua orang sedang berdoa apabila serangan bermula dengan pisau dan sepucuk pistol," kata Nermal Singh, yang berkaki ayam dengan bajunya berlumuran darah dan kepalanya dibalut akibat kecederaan pisau.

Ram, 72, berkata beliau mendengar lima tembakan dalam kuil terbabit.

"Orang ramai mula menjerit dan kanak-kanak menangis sambil berlari keluar. Ia seperti perang. Banyak darah di sana sini. Orang ramai dipukul dan ditikam dengan pisau," katanya.– AP