Thursday, May 21, 2009

Nahas udara: 98 maut di Jawa

Nahas udara: 98 maut di Jawa


Para penyelamat bertungkus-lumus mengeluarkan mayat dan penumpang yang cedera daripada bangkai pesawat pengangkut Hercules C-130 milik Tentera Udara Indonesia yang terhempas semasa hendak mendarat di sebuah lapangan terbang dekat Magetan di Jawa Timur pagi semalam. – AFP


JAKARTA 20 Mei - Sebuah pesawat usang tentera udara Indonesia Hercules C-130 dilaporkan patah sayap kanannya sebelum menjunam ke bumi semasa hendak mendarat di Magetan, Jawa Timur mengakibatkan sekurang-kurangnya 98 orang terkorban.

Pesawat yang dibuat pada 1980 itu kemudiannya merempuh deretan rumah berhampiran Lapangan Terbang Iswahyudi di Desa Geplak, Magetan kira-kira 520 kilometer dari sini pada pukul 6.25 pagi.

Ekoran rempuhan itu, pesawat berkenaan meletup dan terbakar sebelum tersadai di sawah padi dengan bahagian ekornya berada dalam kedudukan terbalik.

Pengarah Bahagian Penerangan Tentera Udara Indonesia, Bambang Soelistyo pada sidang akhbar di sini berkata, kerja-kerja mengeluarkan semua mangsa termasuk 98 yang terkorban telah selesai.

Menurut beliau, daripada 98 mangsa yang terkorban, 11 orang merupakan anak kapal pesawat dan beberapa orang lagi penduduk kampung.

“Sebanyak 15 orang terselamat dengan 10 daripada mereka dalam keadaan kritikal,” katanya.

Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma di sini ke Lapangan Terbang Iswahyudi dan dijadual terbang ke empat destinasi lain iaitu Makassar, Kendari, Ambon dan Biak di Papua.

Agensi berita AFP melaporkan, kejadian itu turut mengorbankan tiga orang penghuni rumah di kampung berkenaan.

Tidak dapat dipastikan punca kejadian itu tetapi Soelistyo dipetik AFP sebagai berkata, beberapa saksi melihat sayap kanan pesawat berusia 30 tahun itu patah semasa masih berada di udara.

Mangsa terselamat, Serkat Susanto menceritakan kepada isterinya Suprapti, pesawat terbabit tiba-tiba menjunam menyebabkan penumpang terpelanting.

“Semua penumpang tidak sempat menyelamatkan diri,” kata Suprapti dipetik oleh portal berita Okezone semasa ditemui di Hospital Dr. Soedono di Madiun.

Televisyen tempatan menyiarkan visual pesawat berkenaan terbakar yang menyukarkan operasi menyelamat dijalankan.

Nahas itu merupakan yang keempat dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini melibatkan pesawat tentera Indonesia.

Pada 11 Mei lalu, sebuah pesawat jenis yang sama tergelincir ketika mendarat di Lapangan Terbang Wamena, Papua sehingga menyebabkan sebuah tayarnya terpelanting kira-kira satu kilometer dan merempuh sebuah rumah.

Beberapa orang cedera ringan dalam kejadian itu dan tiada mangsa terkorban.

Pada 6 April 2009, pesawat Fokker milik angkatan tentera udara Indonesia terhempas di Lapangan Hussein Sastranegara di Bandung, mengorbankan 18 anggotanya.

Pesawat berkenaan merempuh hangar sebelum terhempas dan menyebabkan beberapa buah pesawat yang diletakkan di situ turut rosak.

Pada 7 Mac pula, helikopter milik tentera darat Indonesia mendarat cemas di Semarang Barat, Jawa Tengah kerana mengalami kerosakan tetapi kedua-dua penumpangnya hanya cedera ringan. – Utusan

No comments:

Post a Comment