Thursday, May 21, 2009

Mangsa konflik berdepan krisis makanan

Mangsa konflik berdepan krisis makanan


ISLAMABAD: Orang awam yang terperangkap dalam pertempuran di barat daya Pakistan terpaksa bergantung hidup pada roti dan air kerana serangan kerajaan terhadap Taliban menyebabkan hubungan jalan raya dan bekalan makanan terputus.

Apa juga sedikit makanan yang ada pun agak tinggi harganya, kata mereka. Situasi ini menimbulkan kebimbangan mengenai keadaan kemanusiaan di kawasan bermasalah itu di mana hospital juga ditutup dan bekalan elektrik tidak menentu.

Di Lembah Swat, yang pernah suatu ketika dulu destinasi pelancongan popular, penduduknya terpaksa berhempas pulas untuk hidup ketika pihak tentera berusaha untuk menghapuskan pejuang Islam, menyebabkan orang awam terperangkap dalam pertempuran itu.

"Keluarga kami mempunyai 10 orang, dan kami kini hanya mampu makan roti dengan air," kata Shaista, seorang suri rumah berusia 28 tahun dari bandar Bahrain di Swat.

"Terdapat kekurangan makanan yang teruk. Semua jalan raya ke bandar kami ditutup. Tiada sayur, tiada minyak masak – bayangkan bagaimana kami hendak hidup," katanya melalui telefon.

Abangnya berkata satu-satunya kedai di Bahrain sudah ditutup sejak dua minggu lalu, sementara penduduk lain - yang bercakap kepada AFP melalui telefon, berkata apa juga makanan yang ada, harganya semakin meningkat.

"Minggu lalu saya ke bandar Madyan yang berdekatan dan dapat membeli tepung dengan harga tiga kali ganda," kata penduduk Bahrain, Mohammad Sajid.

"Hampir di semua rumah, penghuninya lapar. Mereka tidur tanpa makanan pada waktu malam dan hanya bergantung hidup dengan air," katanya.

"Cuba bayangkan bagaimana keadaannya bagi kanak-kanak. Kerajaan perlu melakukan sesuatu untuk kami, kalau tidak akan wujud satu lagi krisis kemanusiaan di bandar ini," kata Arif Khan.

"Sekurang-kurangnya mereka sepatutnya membuka jalan dan bekalan makanan kepada kami. Mereka boleh melakukannya melalui udara. Penduduk di sini mungkin terpaksa makan rumput kalau keadaan sudah teruk sangat." - AFP

No comments:

Post a Comment