Thursday, May 21, 2009

INDONESIA : Hercules C-130 terhempas di atas dua rumah

Skru pesawat tentera tanggal


ORANG ramai melihat pesawat milik tentera udara Indonesia yang terhempas di atas dua rumah di Jawa Timur, semalam. Gambar kecil ialah pesawat jenis sama seperti terhempas.

Saksi nampak objek jatuh sebelum Hercules C-130 terhempas di atas dua rumah

SURABAYA: Pesawat tentera yang terhempas ke atas dua rumah di Jawa Timur pagi semalam mengorbankan 98 orang didakwa saksi tercabut skrunya sebelum nahas.

Agus Yulianto, seorang saksi memberitahu laman web akhbar Kompas, pesawat itu jelas senget ketika di udara dan kelihatan beberapa objek jatuh dari pesawat sebelum terhempas.

"Ada beberapa barang jatuh seperti selak dan skru dari pesawat. Pesawat terus menjunam dan akhirnya terhempas ke atas dua rumah," kata Yulianto.

Pegawai berkata, pesawat itu terhempas kira-kira jam 6.30 pagi waktu tempatan, kira-kira lima hingga tujuh kilometer dari pangkalan tentera Iswahyudi.

"Terdahulu kami mendengar letupan. Namun, tidak lagi kerana pesawat masih terbakar," kata seorang lagi saksi Suwardi.

ANGGOTA penyelamat mengusung mayat mangsa kejadian pesawat terhempas di Jawa Timur, semalam.

Katanya tempat kemalangan sukar untuk didekati kerana berada dalam tapak sawah padi.

Lokasi kemalangan berhampiran sempadan daerah Madiun dan Magetan di Jawa Timur, kira-kira 150 kilometer barat daya bandar kedua terbesar Indonesia, Surabaya.

Pesawat terbabit jatuh menimpa dua rumah penduduk tempatan di Desa Geplak, Magetan selepas kali terakhir menghubungi menara kawalan pada jam 6.25 pagi waktu tempatan dari ketinggian kira-kira 10,000 meter untuk menghampiri pangkalan tentera Lanud Iswahjudi.

Difahamkan ketika kejadian cuaca berkabus nipis.

PEGAWAI tentera melalui kediaman penduduk yang musnah akibat nahas pesawat Hercules C-130 milik tentera udara Indonesia, semalam.

Komandan Pangkalan Udara Iswahjudi Magetan, Bambang Samudra, berkata, pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma, Jakarta jam 5.30 pagi membawa 110 penumpang di dalamnya (98 penumpang dan 11 krew) dan tidak terlebih muatan kerana pesawat buatan Amerika Syarikat itu mampu membawa 120 orang atau 17 tan barang.

"Pesawat dalam penerbangan rutin dari Halim ke Iswahjudi, Makassar dan kemudian ke Papua," katanya.

Bekas Ketua Tentera Udara, Chappy Hakim memberitahu Reuters bahawa pesawat Hercules C-130 yang terhempas itu adalah buatan Amerika Syarikat dan dibina pada 1980-an.

Tentera udara negara itu sekian lama mengadu tidak mempunyai pembiayaan mencukupi dan kekurangan persenjataan berikutan larangan penjualan ke atasnya yang dikenakan Amerika Syarikat sebelum ini. - Reuters/Agensi

No comments:

Post a Comment