Thursday, May 21, 2009

Hercules C-130 tentera udara Indonesia jatuh atas rumah : 98 maut nahas pesawat

98 maut nahas pesawat


PASUKAN penyelamat Indonesia memeriksa pesawat pengangkut tentera Hercules C-130 yang terhempas di kawasan penempatan di Jawa Timur semalam.

Hercules C-130 tentera udara Indonesia jatuh atas rumah

JAKARTA: Sebuah pesawat pengangkut tentera yang membawa 110 penumpang, terhempas ke atas beberapa rumah dan terbakar di Jawa Timur semalam, mengorbankan sekurang-kurangnya 98 orang, termasuk dua di darat.

Rakaman televisyen menunjukkan pesawat Hercules C-130 berusia lebih 30 tahun itu terjunam ke arah beberapa deretan rumah menyebabkan bangkainya berselerakan dan asap hitam tebal menjulang ke udara.

Rustam Pakaya, ketua Pusat Krisis Kementerian Kesihatan memberitahu Reuters menerusi telefon, selain terkorban, 15 cedera termasuk beberapa orang di darat.

Komander pangkalan tentera udara Iswahyudi di Magetan berhampiran kawasan kemalangan, Bambang Samoedro, mengesahkan jumlah penumpang yang disahkan maut.

"Kami sudah mengenal pasti 105 identiti mangsa. Sepuluh daripada mereka cedera parah dan lima cedera ringan dan lain maut," kata Samoedro menerusi telefon.

Bercakap pada sidang media, jurucakap tentera nasional, Sagom Tamboen, berkata 11 krew dan 98 penumpang menaiki pesawat itu, termasuk 10 kanak-kanak.

Menurutnya, pesawat itu berada dalam keadaan baik dan terdapat kabus di lokasi sebelum nahas. Ia dalam penerbangan biasa dari Jakarta ke pangkalan tentera udara di Jawa Timur, menghantar kakitangan tentera dan keluarga mereka sebelum dijadualkan terbang ke Sulawesi dan Papua.

"Tentera udara akan membentuk pasukan bagi menyiasat punca kemalangan," kata seorang lagi jurucakap tentera udara, Bambang Soelistyo.

Rakaman televisyen dari tempat kejadian menunjukkan penduduk bertungkus lumus memadam kebakaran mencurah air menggunakan baldi.

"Ekor pesawat sepanjang Kira-kira 15 meter masih bersambung, namun bahagian badan sehingga hadapan pecah dan terbakar," kata Suwardi, ketua daerah kecil di Magetan di mana kemalangan berlaku pada kira-kira jam 6.30 pagi waktu tempatan. - Reuters/Agensi

No comments:

Post a Comment