Thursday, May 21, 2009

Kekayaan Susilo meningkat 20 peratus

Kekayaan Susilo meningkat 20 peratus


JAKARTA: Kekayaan peribadi Presiden Susilo Bambang Yudhoyono meningkat 20 peratus ketika tempoh dua tahun terakhir penggalnya sebagai ketua negara, kata seorang pegawai badan antirasuah republik itu.

Eko Tjiptadi dari Suruhanjaya Penghapus Rasuah (KPK) berkata, peningkatan 20 peratus kekayaan Presiden diketahui selepas KPK menjalankan pemeriksaan kekayaannya di kediamannya di Cikeas, Bogor, Jawa Barat.

"Terdapat peningkatan 20 peratus daripada laporan kekayaan terakhirnya pada 2007. Ketika itu kekayaan Susilo direkodkan berjumlah Rp7.144 bilion (RM2.45 juta) ditambah AS$44,887 (RM158,933.87)," kata Eko.



Kali terakhir presiden melaporkan kekayaannya ialah pada 2 Julai 2007.

Pertambahan kekayaan Susilo adalah hasil simpanan pendapatannya sejak dua tahun lalu dan peningkatan dalam nilai jualan hartanah miliknya.

Kelmarin, pasukan KPK menjalankan pemeriksaan kekayaan rumah tiga calon presiden dan naib presiden yang akan bertanding dalam pilihan raya presiden 8 Julai ini.

KPK juga memeriksa kekayaan Megawati Soekarnoputri di kediamannya di Teuku Umar, Jakarta Pusat, kekayaan Jusuf Kalla di kediamannya di Diponegoro dan Prabowo Subianto di Citerup. Bogor.

Semalam, badan antirasuah juga memeriksa kekayaan Wiranto dan Boediono. - Agensi

No comments:

Post a Comment