Thursday, May 21, 2009

Dua pemberontak dibunuh ketika mahu menyerah

Dua pemberontak dibunuh ketika mahu menyerah


COLOMBO: Usaha terdesak dua pemimpin kanan Barisan Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE) yang terperangkap dalam medan perang untuk menyelamatkan nyawa mereka membawa padah kelmarin apabila mereka ditembak mati ketika bersedia menyerah diri kepada tentera Sri Lanka.

Dalam e-mel, SMS dan panggilan telefon yang disampaikan di kalangan badan bukan kerajaan, kerajaan asing dan pegawai Sri Lanka di Colombo, dua pemimpin LTTE itu bertanya bagaimana mereka dapat menyerah diri.

Mereka diberitahu: "Dapatkan sehelai kain putih, angkat tangan dan berjalan ke arah lain dengan keadaan tidak memberi ancaman."

Bagaimanapun, cubaan menyerah diri oleh Balasingham Nadesan dan Seevaratnam Pulidevan, gagal kerana antara tengah malam 17 Mei lalu awal pagi keesokan hari, mereka ditembak mati.

Pegawai LTTE di luar negara mendakwa kedua-duanya dibunuh tentera kerajaan meskipun mereka membawa bendera putih.

Sementara, kerajaan Sri Lanka berkata mereka dibunuh oleh pemberontak LTTE, yang marah dengan tindakan mereka melarikan diri daripada zon perang.

Perbalahan mengenai pembunuhan Nadesan dan Pulidevan berlaku ketika Presiden Sri Lanka, Mahinda Rajapakse, memberitahu Parlimen negara itu sudah 'dibebaskan daripada pengganas.'

"Niat kami adalah untuk menyelamatkan penduduk Tamil daripada cengkaman kejam pemberontak. Kita kini mesti hidup bersama di negara bebas ini," katanya.

Ketika Rajapakse, televisyen menyiarkan imej mayat pemimpin pemberontak, Velupillai Prabhakaran, yang dibunuh tentera kerajaan pagi Isnin lalu. Mayatnya ditunjukkan berpakaian seragam dan terbaring di atas pengusung.

Sekeping kain biru menutupi kepalanya bagi melindungi kesan tembakan. - Agensi

No comments:

Post a Comment