Saturday, May 23, 2009

Tetap tutup Guantanamo

Tetap tutup Guantanamo


Obama anggap penjara cemar nama AS

WASHINGTON: Presiden Barack Obama berjanji tidak akan berganjak dengan keputusannya untuk menutup penjara Teluk Guantanamo, yang disifatkan sebagai 'berada dalam keadaan teruk.'

Obama juga berkata tahanan al-Qaeda yang paling merbahaya mungkin akan ditahan buat selama-lamanya di penjara 'super max' Amerika Syarikat.

Beberapa jam selepas ucapan Obama, Senat Amerika meluluskan belanjawan tambahan sebanyak AS$91.3 bilion (RM319.55 bilion) bagi tahun ini sebagai perbelanjaan peperangan di Iraq dan Afghanistan sehingga 1 Oktober depan, tapi tanpa sumber kewangan bagi penutupan penjara di pangkalan Amerika di Cuba itu, selepas berdebat mengenainya selama beberapa hari.

Obama berkata beliau berhak mengarahkan penutupan penjara yang digunakan dalam peperangan terhadap pengganas itu menjelang 2010, atas alasan ia mencemarkan nama baik Amerika di luar negara.

"Dari semua segi, kos untuk mengekalkan penjara Guantanamo itu adalah jauh lebih besar berbanding penutupannya," kata Obama.

Obama juga menyelar bekas naib presiden Amerika, Dick Cheney, yang kini mengetuai kritikan Republikan terhadap dasar antikeganasannya.

Selain itu beliau menolak taktik yang digunakan oleh pentadbiran Bush selepas serangan 11 September, 2001 dan berkata ia adalah hasil daripada perasaan bimbang dan tidak berpandangan jauh.

Obama berkata pentadbirannya mungkin memindahkan sebahagian daripada tahanan al-Qaeda yang paling merbahaya di Teluk Guantanamo ke penjara Amerika. - AFP

No comments:

Post a Comment