Saturday, May 23, 2009

PBB rayu dana RM1.95b bantu pelarian 'amat derita'

PBB rayu dana RM1.95b bantu pelarian 'amat derita'


ISLAMABAD: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam mengemukakan rayuan untuk mendapatkan dana sebanyak AS$543 juta (RM1.95 bilion), bagi membantu lebih dua juta pelarian yang 'amat menderita' selepas terpaksa meninggalkan kediaman mereka akibat pertempuran di Lembah Swat.

PBB turut memberi amaran krisis kemanusiaan jangka panjang mungkin berlaku dan menggesa bantuan besar-besaran disumbangkan kepada hampir 1.7 juta penduduk yang menjadi pelarian dan 550,000 lagi yang terpaksa meninggalkan rumah berikutan pertempuran sebelumnya.

"Skala pelarian adalah luar biasa dari segi jumlah dan pertambahannya, sekali gus menyebabkan penderitaan yang dahsyat. Kami memerlukan dana AS$543 (RM1.95 bilion) termasuk AS$110 juta (RM396 juta) dari Amerika Syarikat untuk membiayai 165 projek PBB di kawasan pelarian," kata Martin Mogwanja, penyelaras tindakan bantuan kemanusiaan PBB.

Rayuan itu dikemukakan sehari selepas sekutu Pakistan menjanjikan bantuan bernilai AS$224 juta (RM806 juta) termasuk AS$110 juta (RM396 juta) dari Amerika apabila kerajaan memberi amaran militan boleh mengeksploitasi keadaan itu jika bantuan gagal diberikan.

Sementara itu ketua operasi bantuan kerajaan, Leftenan Jeneral Nadeem Ahmed berkata, kira-kira 200,000 penduduk awam masih terperangkap di lembah berkenaan dan pihak berkuasa mungkin terpaksa menggugurkan makanan dari udara.'

Nadeem bagaimanapun berkata tidak ramai orang awam masih tinggal di bandar Mingora dan kebanyakan mereka berada di bahagian utara bandar itu yang 'lebih tenang'.

Amerika yang melihat peranan Pakistan sebagai amat penting dalam usahanya menewaskan pejuang al-Qaeda dan membawa kestabilan di Afghanistan memuji tindakan negara itu memerangi militan Taliban.

Tentera berkata kira-kira 15,000 anggota pasukan keselamatan bertempur menghadapi antara 4,000 dan 5,000 militan di Swat. - Reuters

No comments:

Post a Comment