Saturday, May 23, 2009

Puak Taliban terkepung

Puak Taliban terkepung


PELARIAN dari Swat menanti bantuan roti di kem pelarian Jalozai di Peshawar, kelmarin.

Ratusan ribu penduduk lari

KHWAZAKHELA: Tentera Pakistan sudah mengepung kedudukan militan Taliban di kawasan pergunungan, di samping bandar utama di Lembah Swat selepas sebulan melancar serangan yang mengakibatkan ratusan ribu penduduk melarikan diri.

Bagi mengatasi keraguan mengenai perkembangan serangan operasi di kawasan barat daya itu, pihak tentera menerbangkan sebilangan wartawan pertubuhan berita asing ke Swat semalam.

Wartawan Associated Press yang turut menaiki helikopter bersama yang lain menyaksikan tiada kereta dan hanya beberapa orang saja kelihatan berlegar di bandar Mingora atau di jalan raya lain di lembah berkenaan, yang sebelum ini sebuah pusat pelancongan popular kira-kira 100 kilometer dari ibu negara Pakistan, Islamabad.

Dari udara, tidak banyak kesan dapat dilihat bahawa lembah itu baru saja terbabit dalam pertempuran sengit dan serangan udara yang didakwa pihak tentera mengorbankan lebih 1,000 militan dan kira-kira 60 askar.

Tetapi seorang panglima kanan menyatakan pihak tentera sudah memerangkap militan berkenaan di Mingora dan Piochar, sebuah kawasan perkampungan di utara, iaitu kubu kuat pemimpin Taliban Swat, Maulana Fazlullah.

SEORANG kanak-kanak yang cedera akibat letupan bom

"Mereka dikawal ketat. Laluan untuk mereka melepaskan diri sudah terputus," kata Mejar Jeneral Sajad Ghani. "Hanya masa saja menentukan sebelum mereka (pemimpin Taliban) dihapuskan."

Pakistan melancarkan serangan bulan lalu bagi menghalang Taliban daripada terus mara dari Swat menuju ke Islamabad.

Pegawai menyatakan 1.9 juta orang sudah meninggalkan kawasan pertempuran itu. Lebih 160,000 tinggal di khemah yang tidak selesa kerana kepanasan di selatan zon peperangan. Yang lain dibantu oleh saudara mara.

PBB menyatakan rayuannya akan membantu menyediakan makanan, persekolahan dan penjagaan kesihatan kepada mereka yang meninggalkan kawasan Swat dan yang bertempur di kawasan sempadan lain tahun lalu.

"Jumlah mereka yang meninggalkan kampung halaman belum pernah berlaku sebelum ini dari segi saiz dan kepantasan dan mengakibatkan penderitaan luar biasa," kata Martin Mogwanja, pemangku penyelaras kemanusiaan PBB di Pakistan. "Kami mengharapkan bantuan daripada masyarakat antarabangsa." - AP

No comments:

Post a Comment