Friday, May 22, 2009

Obama gagal dapat kelulusan Senat

Obama gagal dapat kelulusan Senat


Peruntukan tutup penjara Guantanamo ditolak

WASHINGTON: Senat Amerika Syarikat kelmarin menolak permintaan Presiden Barack Obama untuk mendapatkan peruntukan AS$80 juta (RM280 juta) yang diperlukan bagi menutup penjara Amerika di Teluk Guantanamo.

Senat mengundi 90-6 bagi menolak jumlah yang diperlukan itu bagi penjara berkenaan daripada rang undang-undang peruntukan AS$91.3 bilion (RM319.5 bilion) bagi membiayai peperangan di Afghanistan dan Iraq. Ia juga menghalang pentadbiran Obama daripada menggunakan sebarang peruntukan bagi membawa balik tahanan yang ditahan di sana ke bumi Amerika sehingga 30 September depan.

Anggota Demokrat, yang menguasai Senat bagaimanapun memutuskan untuk menolak peruntukan itu selepas dikecam hebat oleh anggota Republikan.

Perkembangan berkenaan menyebabkan lebih sukar bagi Presiden menunaikan janjinya untuk menutup penjara di pangkalan tentera laut Amerika itu di Cuba menjelang Januari 2010.

Obama juga dikecam kumpulan hak asasi manusia apabila beliau memutuskan untuk menarik balik cadangannya untuk menamatkan tribunal ketenteraan bagi tahanan dan membenarkan penyiaran gambar penderaan di penjara berkenaan.

Ada seramai 240 suspek keganasan ditahan di Teluk Guantanamo dan sebilangan ahli Kongres menentang cadangan untuk membawa mereka ke penjara Amerika. Sesetengah anggota Republikan juga menggesa Obama supaya mengekalkan kemudahan di Guantanamo itu.

Anggota Senat Demokrat dan Republikan juga mahu Obama memperincikan cadangannya berhubung tahanan Guantanamo itu sebelum mereka membenarkan wang itu digunakan. Selain itu senator berkenaan juga berdepan permintaan kontroversi Obama untuk menawarkan sehingga AS$108 bilion (RM378 bilion) kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi membantu negara lain menghadapi krisis kewangan global. – Reuters

No comments:

Post a Comment