Friday, May 22, 2009

Halang wartawan di perbicaraan Suu Kyi

Halang wartawan di perbicaraan Suu Kyi


YANGON: Kerajaan Myanmar semalam menghalang semula wartawan dan diplomat daripada menghadiri perbicaraan Aung San Suu Kyi, sehari selepas membenarkan mereka masuk ke bilik mahkamah buat pertama kali kelmarin.

Pada ketika ini, masih belum diketahui sama ada pihak junta akan membuka semula perbicaraan berkenaan.

Pihak junta tentera di Myanmar terus menghadapi tekanan supaya menghentikan perbicaraan yang "tidak wajar" itu ke atas Suu Kyi, sementara pakar perundangan menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya mengadakan siasatan mengenai pencabulan hak asasi manusia oleh rejim berkenaan.

Pemenang hadiah Nobel Keamanan itu, 63, yang ditahan tanpa perbicaraan selama 13 tahun bagi tempoh 19 tahun lalu, dituduh melanggar syarat penahanan dalam rumah selepas seorang lelaki Amerika, John Yettaw, berenang ke rumahnya tanpa kebenaran rasmi. Yettaw dan dua pembantu Suu Kyi turut dibicarakan.

Selepas mengadakan perbicaraan selama dua hari pertama, tanpa dijangka pihak berkuasa Myanmar membukanya kepada 10 wartawan dan berbelas-belas diplomat.

Tiga diplomat dari Thailand, Singapura dan Russia juga dibenarkan menemuinya di penjara Insein tapi mereka enggan memberi sebarang maklumat berhubung pertemuan itu. – Reuters

No comments:

Post a Comment