Friday, May 22, 2009

6 negara Arab yakin Obama mampu pulih imej Amerika

6 negara Arab yakin Obama mampu pulih imej Amerika


WASHINGTON: Satu tinjauan pendapat dibuat di enam negara Arab mendapati Amerika Syarikat mempunyai peluang paling baik memulihkan imej yang tercalar teruk di bawah pemerintahan bekas Presiden George W Bush ketika Presiden Barack Obama bersiap sedia berdepan dengan dunia Arab dan Islam dari Mesir.

"Jelas ada luahan keterbukaan dan harapan serta orang ramai menanti apa yang akan dilakukan pentadbiran baru Amerika," kata ketua Tinjauan Pendapat Umum Arab 2009, Shibley Telhami.

Tinjauan berkenaan, yang disiarkan pertubuhan penyelidikan terkemuka, Brookings Institution dan badan tinjauan bebas, Zogby International, diadakan di enam negara Arab dan Islam.

Ia mendapati lebih separuh daripada responden di Mesir, Jordan, Lubnan, Maghribi, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) berharap dan menanti dasar baru Amerika di bawah pemerintahan Obama.

"Majoritinya meluahkan harapan dalam dasar luar Amerika oleh pentadbiran Obama, dan apa yang dikatakan dan dilakukan presiden sejak tiga bulan lalu," katanya.

Cuma 14 peratus daripada responden meluahkan keraguan.

Bagi Obama sendiri, tinjauan mendapati 45 peratus responden menyukai presiden baru itu, berbanding 24 peratus yang berpandangan negatif mengenainya.

"Lebih ramai penduduk dunia Arab mempunyai pandangan positif mengenai Obama berbanding negatif," kata Telhami. – Agensi

No comments:

Post a Comment