Friday, May 22, 2009

Jutawan Mesir bunuh Susan Tamim dihukum mati

Jutawan Mesir bunuh Susan Tamim dihukum mati


POLIS mengawal ketat Hisham Talaat Moustafa (dua dari kiri) yang dihukum mati kerana membunuh Suzan Tamim (gambar kecil).

KAHERAH: Seorang jutawan dan ahli perniagaan terkemuka yang mempunyai kaitan dengan anak lelaki Presiden Mesir, Hosni Mubarak, dijatuhi hukuman mati semalam selepas didapati bersalah mengarahkan pembunuhan penyanyi pop Lubnan, Susan Tamim, dalam satu kes yang menggemparkan Asia Barat, Julai tahun lalu.

Hisham Talaat Moustafa, anggota Parti Demokratik Kebangsaan yang memerintah Mesir, didakwa mengupah seorang bekas pegawai polis Mesir AS$2 juta (RM7 juta) untuk membunuh penyanyi itu ketika beliau berada di Dubai.

Bekas pegawai polis terbabit, Mohsen el-Sukkary turut dijatuhi hukuman mati di mahkamah sesyen yang bertukar kecoh, apabila anggota keluarganya bertempur dengan wartawan yang cuba mendapatkan reaksi tertuduh mengenai keputusan mahkamah.

Moustafa sudah berkahwin dan Susan yang berusia 30 tahun ketika beliau dibunuh, adalah pasangan kekasih sebelum hubungan mereka mula bermasalah.

Dua anak perempuan Moustafa menangis sebaik keputusan diumumkan manakala kakak jutawan itu pengsan.

"Keputusan ini kejam," kata Sameer el-Shistawi, salah seorang peguam Moustafa kepada wartawan di luar mahkamah di selatan Kaherah. Beliau berkata pihaknya akan mengemukakan rayuan dan yakin keputusan itu akan berubah.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah di atas tuduhan itu.

Pembunuhan Susan dan imej tubuhnya terkapar dengan kesan kelar di leher yang dibocorkan media, menjadi berita utama akhbar tabloid, mendedahkan kisah seorang kekasih yang ditinggalkan dan kemudian membalas dendam dengan mengupah penjahat untuk membunuh penyanyi itu.

Media Asia Barat sebelum sudah meramalkan hakim akan menjatuhkan hukuman mati selepas 27 kali perbicaraan yang dibuka kepada umum. Mereka lebih teruja berikutan hubungan Moustafa dengan Gamal Mubarak, yang sering kali disebut-sebut sebut sebagai bakal pengganti bapanya. Moustafa adalah anggota jawatankuasa dasar parti itu. � AP

No comments:

Post a Comment