Tuesday, May 26, 2009

Korea Utara lancar ujian nuklear

Korea Utara lancar ujian nuklear



TAPAK ujian pelancaran misil Korea Utara yang dikesan satelit 2009 GeoEye-1 pada 5 April lalu. - Foto Reuters

Obama bimbang dan menggesa tindak balas masyarakat antarabangsa

PYONGYANG: Korea Utara berjaya mengadakan ujian letupan nuklear bawah tanah pagi semalam, menyebabkan gempa bumi buatan berukuran 4.7 pada skala Richter dan mengesahkan kedudukannya sebagai kuasa nuklear terbaru dunia.

Ia turut melaporkan menembak misil jarak dekat. Ujian itu dilihat sebagai provokasi besar tidak sampai dua bulan selepas negara itu melancarkan roket yang dipercayai ujian teknologi misil jarak jauhnya.

Ujian itu juga mendorong Presiden Barack Obama segera memberi amaran tindakan negara komunis itu 'amat membimbangkan kepada semua negara' dan menggesa tindak balas masyarakat antarabangsa.

"Korea Utara secara langsung dan tidak berhati-hati mencabar masyarakat antarabangsa. Tindak-tanduk negara itu meningkatkan ketegangan dan menggugat kestabilan di Asia Timur," katanya.

Perdana Menteri Britain, Gordon Brown, turut mengutuk pengumuman Korea Utara itu. Jepun, yang terletak dalam jarak roket Pyongyang, turut mengambil tindakan sama.

"Jika Korea Utara melancarkan ujian nuklear, ia jelas melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Kami tidak akan bertolak ansur mengenainya," kata ketua jurucakap kerajaan, Takeo Kawamura, kepada wartawan di Tokyo.

Korea Utara, yang meradang dengan kritikan Majlis Keselamatan berhubung pelancaran roketnya pada 5 April lalu, memberi amaran bulan lalu ia akan memulakan semula program nuklearnya, mengadakan ujian atom dan melancarkan ujian misil jarak jauh.

Agensi Berita Pusat Korea semalam menyifatkan ujian itu sebagai usaha meningkatkan program nuklearnya untuk mempertahankan diri. Ia dibuat beberapa minggu selepas negara itu mengancam memulakan semula program atomnya.

Russia, yang berkongsi sempadan dengan Korea Utara, mengesahkan kemudahannya mengesan ujian nuklear timur laut negara itu, lapor agensi berita ITAR-Tass, memetik kenyataan pegawai Kementerian Pertahanan Russia yang tidak dinamakan.

Pakar gempa bumi dari Amerika, Korea Selatan dan Jepun melaporkan gempa bumi di wilayah timur laut, lokasi sama Korea Utara mengadakan ujian nuklear pada 2006.

Gempa bumi berukuran 4.7 pada skala Richter didaftarkan di timur laut Korea Utara pada jam 9.54 pagi waktu tempatan semalam, kata Tinjauan Geologikal Amerika. – Agensi

No comments:

Post a Comment