![]() SEORANG budak lelaki memerhatikan feri separuh karam di Pulau Mindoro ketika pasukan pengawal pantai mencari kapten dan pemilik kapal berkenaan, Sabtu lalu. |
Sekumpulan 12 orang termasuk seorang pelancong Jepun lemas dalam kejadian Sabtu lalu apabila gelombang besar menyebabkan feri beroperasi antara pulau karam berhampiran pantai peranginan Puerto Galera di tengah Mindoro.
Krew dan kapten feri terbabit adalah antara 48 yang terselamat tetapi melarikan diri bersama pemilik berikutan pihak berkuasa memulakan siasatan dengan memberi tumpuan kepada kemungkinan kapal berkenaan lebih muatan.
Penyiasat turut mengenal pasti dua kapal penumpang lain yang didakwa lalu dekat tempat kejadian di mana kapal terbabit karam tetapi tidak berhenti membantu dan akan menyoal siasat krew kedua-dua feri terbabit, kata ketua pengawal pantai, Wilfredo Tamayo. Pihak berkuasa bagaimanapun tidak mendedahkan nama kedua-dua kapal terbabit.
Seorang mangsa yang terselamat, Ramon Eugenio, yang kehilangan anak lelakinya berusia dua tahun dan anak saudaranya dalam kejadian itu memberitahu Philippine Daily Inquirer bahawa beliau berharap kedua kapal berkenaan melemparkan jaket keselamatan tetapi sebaliknya penumpang kapal terbabit sekadar mengambil gambar serta video sebelum meneruskan perjalanan.
"Saya tidak tahu jika mereka juga bimbang terlebih muatan," katanya kepada akhbar berkenaan.
Beberapa pegawai pengawal pantai ditukarkan dari jawatan mereka sementara siasatan lanjut kerana kegagalan memeriksa feri manakala tujuh syarikat feri digantung perkhidmatan, kata Ramayo. – AP
No comments:
Post a Comment