Tuesday, May 26, 2009

Taliban tak serang Lembah Swat

Taliban tak serang Lembah Swat


Penunjuk perasaan melaung slogan membantah operasi tentera di Lembah Swat di Karachi, kelmarin.

ISLAMABAD: Militan Taliban tidak akan menyerang anggota tentera di bandar utama Lembah Swat untuk mengelak tercetusnya pertempuran yang mengakibatkan kematian penduduk awam dan kemusnahan, kata jurucakap pergerakan itu.

Pengumuman itu semalam dilihat tentera sebagai petanda militan 'berdepan kekalahan' tetapi jurucakap Taliban, Muslim Khan, menafikan ia desakan gencatan senjata dan berkata militan tidak akan berundur dari Mingora.

"Ini satu perang yang panjang dan kami akan menempuhinya dengan strategik. Kami akan terus berjuang sehingga sistem Islam dikuat kuasa," katanya lewat kelmarin daripada satu lokasi rahsia di Swat.

Pakistan memulakan serangan lewat bulan lalu terhadap militan di wilayah barat laut itu selepas mereka tidak mengendahkan syarat gencatan senjata. Sekutu Barat Pakistan, yang bimbang negara itu diancam Taliban, menyambut baik operasi itu.

Hampir 1.9 juta penduduk meninggalkan lembah berkenaan dan daerah sekitarnya tetapi sehingga 20,000 masih berada di Mingora, yang dimasuki tentera kelmarin selepas mengepungnya. Kebanyakan daripada 4,000 militan di lembah itu dipercayai berada di bandar berkenaan.

Seorang penduduk di luar bandar raya itu berkata, 3,000 orang masih terperangkap di kawasan penempatannya dan menderita.

"Kami tiada makanan, air dan ubat. Kami tidak ada doktor atau hospital untuk pergi," kata Liaqat Ali.

Khan berkata, pejuang tidak akan bertempur dengan anggota tentera di Mingora kerana 'melihat apabila tentera membalas serangan mereka selalu membunuh penduduk awam.'

"Serangan mereka selalu merosakkan harta awam. Kami tidak mahu itu berlaku," katanya.

Jurucakap tentera, Mejar Jeneral Athar Abbas, semalam berkata militan menggunakan helah untuk melarikan diri.

Katanya, operasi di bandar raya itu akan diteruskan seperti dirancang. Komander berkata, mereka menyasarkan untuk menghapuskan Taliban di lembah itu dan Jumaat lalu menegaskan, sebarang bentuk gencatan senjata mungkin tidak akan dipersetujui. – AP

No comments:

Post a Comment