Tuesday, May 26, 2009

Tentera wanita Britain dibenar sertai perang

Tentera wanita dibenar sertai perang


LONDON: Tentera wanita Britain tidak lama lagi akan dapat bersemuka dengan musuh tenteranya jika satu larangan yang tidak membenarkan wanita berkhidmat di medan perang ditarik balik buat kali pertama.

Dalam memastikan undang-undang sama hak diperluaskan di Britain, pihak berkuasa tentera mempertimbangkan untuk membenarkan tentera wanita menyertai unit yang pada masa ini hanya dianggotai lelaki dalam misi berisiko termasuk berhadapan barisan musuh.

Menteri pasukan bersenjata, Bob Ainsworth berkata satu kajian baru akan diputuskan sama ada untuk menarik balik larangan yang sejak sekian lama dikenakan terhadap tentera wanita, tentera laut dan tentera udara daripada terbabit dalam unit peperangan.

Kajian berkenaan dibuat selepas satu penilaian hak persamaan jantina di kalangan masyarakat Britain termasuk langkah untuk mengurangkan jurang gaji antara lelaki dan wanita dan menggalakkan tindakan lebih tegas.

Kali terakhir Britain mengkaji peranan tentera wanita adalah pada 2002, apabila pihak berkuasa merumuskan bahawa wanita kurang mampu membawa peralatan berat, lebih terdedah kepada kecederaan dan mempunyai kadar kapasiti agresif yang rendah berbanding lelaki.

Malah mereka merumuskan bahawa unit membabitkan hanya lelaki itu lebih baik dan dapat bekerja dengan lebih berkesan.

Bagaimanapun Brigadier Richard Nugee berkata bahawa pengalaman perang sejak beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan bahawa andaian berkenaan perlu dikaji semula.

"Sebenarnya pada masa ini kami mempunyai pengalaman praktikal wanita di medan perang di Afghanistan dan Iraq dan kami ingin melihat sebenarnya kesan terhadap tentera kami," katanya kepada BBC.

"Ini adalah satu pandangan yang terbuka. Kita belum ada rumusan lagi."

Hanya Israel dan bekas negara Kesatuan Soviet yang mempunyai pasukan tentera wanita di medan perang dalam sejarah moden walaupun Israel tidak lagi menghantar wanita di barisan hadapan sejak 1948.

Amerika Syarikat sendiri tidak membenarkan wanita berkhidmat dalam unit infantri atau pasukan tentera khas. – AP

No comments:

Post a Comment