Tuesday, May 26, 2009

Dua kumpulan Sikh bergaduh

Dua kumpulan Sikh bergaduh


Pertempuran berdarah turut merebak ke wilayah utara India

VIENNA: Sekumpulan masyarakat Sikh bersenjatakan pisau dan sepucuk pistol menyerang dua penceramah di sebuah kuil di Vienna menyebabkan sekurang-kurangnya seorang maut dan 16 orang cedera.

Ia disusuli pertempuran membabitkan etnik yang sama di utara India.

Saksi berkata, sekumpulan lelaki berserban dan berjanggut menyerang pemimpin agama di kuil di ibu negara Austria itu menyebabkan pengikutnya bertindak mempertahankan guru terbabit.

Seorang daripada dua guru agama terbabit dilaporkan maut. Mereka dikenal pasti oleh diplomat India dan polis sebagai Nirajnan Das dan Sant Rama Anand.

Dalam kejadian di Vienna, sekumpulan etnik Sikh kelas bawahan diserang sekumpulan etnik Sikh kelas atasan yang menuduh penceramah terbabit menghina kitab suci agama mereka.

Jurucakap polis, Michael Takacs, berkata tempat kejadian seperti satu medan perang. Enam suspek sudah ditahan dan lebih ramai akan ditahan.

Mohnder Ram, seorang pengunjung yang menghadiri upacara di situ berkata kuil terbabit dikendalikan pengikut Shri Guru Ravidas, pengasas satu daripada ajaran Sikh digelar Dera Sach Khand pada kurun ke-14.

Sementara itu, di India, pertempuran membabitkan puak Sikh dan pengikut agama guru terbabit turut tercetus di utara Jalandhar beberapa jam selepas pertempuran di Vienna.

Sanjiv Kalra, seorang pegawai polis kanan di Jalandhar berkata penunjuk perasaan membakar sebilangan kenderaan dan menghalang jalan raya.

Beberapa saksi di Vienna pula menceritakan kejadian yang menyebabkan kekecohan itu.

"Semua orang sedang berdoa apabila serangan bermula dengan pisau dan sepucuk pistol," kata Nermal Singh, yang berkaki ayam dengan bajunya berlumuran darah dan kepalanya dibalut akibat kecederaan pisau.

Ram, 72, berkata beliau mendengar lima tembakan dalam kuil terbabit.

"Orang ramai mula menjerit dan kanak-kanak menangis sambil berlari keluar. Ia seperti perang. Banyak darah di sana sini. Orang ramai dipukul dan ditikam dengan pisau," katanya.– AP

No comments:

Post a Comment