Sunday, May 24, 2009

12 remaja rompak dua kali sebulan RM5.5j

12 remaja rompak dua kali sebulan RM5.5j

Hasil samun 'Terror Zone' lebih RM5.5 juta

LONDON: Sekumpulan remaja lelaki, termasuk seorang yang baru berusia 15 tahun, mencuri hampir £1 juta (RM5.5 juta) dalam siri rompakan 'amat profesional' ke atas van keselamatan. Mereka yang ditahan dan dibicarakan dikenakan hukuman penjara, semalam.

Dua belas remaja berkenaan, kebanyakannya tinggal bersama ibu bapa mereka, merompak van dua

kali sebulan ketika ia menghantar wang ke mesin tunai.

Mereka menumbuk dan menendang pekerja keselamatan ketika mencuri £817,000 (RM4.4 juta) dalam siri rompakan di seluruh London dan Surrey dalam masa tidak sampai setahun, melarikan diri dengan £110,000 (RM605,000) dalam satu rompakan.

Polis juga percaya kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai 'Terror Zone' itu bertanggungjawab di atas 19 rompakan yang dilakukan, memperoleh keuntungan lebih £1 juta (RM5.5 juta).

Menjatuhkan hukuman keseluruhan 40 tahun penjara ke atas kumpulan remaja itu, Hakim Shani Barne, berkata: "Anda semua bertanggungjawab di atas kecurian lebih £800,000 (RM4.4 juta). Ia amat luar biasa. Di sebalik keremajaan, rompakan ini dirancang rapi dan canggih melampaui usia anda dan mengatasi apa yang dilakukan penjenayah berpengalaman, pada pandangan saya dan jangan anggap ini sebagai pujian.

"Jika ia bukan jenayah, ini sesuatu yang mengagumkan dan dirancang rapi. Anda terlepas untuk jangka masa yang lama dan menyangka anda tidak akan dapat dikesan."

Kumpulan itu merancang rompakan dengan mengekori van keselamatan daripada depo di Surrey dan selatan London. Mereka kemudian menghumban peti besi daripada bangunan tinggi untuk memecahkannya.

Mereka membelanjakan hasil rompakan dengan membeli kereta mewah, televisyen plasma, pakaian berjenama dan peralatan elektronik, melanggan pelacur dan mengunjungi restoran mewah. Mereka ditahan pada Ogos 2008. – Agensi

No comments:

Post a Comment