Sunday, May 24, 2009

Bekas Presiden Korea bunuh diri

Bekas Presiden Korea bunuh diri


PENDUDUK Korea Selatan berkumpul bagi memberi penghormatan terakhir kepada Roh di satu jalan raya di Seoul, semalam.

Roh Moo-hyun disyaki terbabit rasuah tinggalkan nota mohon maaf

SEOUL: Bekas Presiden Korea Selatan, Roh Moo-hyun, yang terseret dalam skandal rasuah, mengejutkan negaranya selepas dilaporkan mati kerana terjun dari satu tempat tinggi di kawasan pergunungan belakang kediaman beliau, semalam.

Roh, 62, berjalan di kampung Bongha apabila beliau bertindak terjun di kawasan pergunungan berbatu berkenaan, kata peguam, Moon Jae-in.

Satu nota bunuh diri ditinggalkan Roh kepada keluarganya menerangkan hidupnya sebagai 'sukar' dan memohon maaf kerana 'menyusahkan ramai orang', kata televisyen.

Roh dikejarkan ke sebuah hospital berhampiran bandar pelabuhan, Busan kira-kira jam 8.15 pagi dan dilaporkan mati kira-kira 9.30 pagi akibat kecederaan kepala, kata pihak berkuasa Hospital Universiti Kebangsaan Busan.

Peguam berkenaan mengesahkan bahawa Roh turut meninggalkan sekeping nota ringkas bunuh diri kepada keluarganya tetapi penyiasat belum melihat nota terbabit, kata seorang pegawai polis Busan.

Televisyen MBC pula memberitahu, Roh meminta supaya mayatnya dibakar. Presiden Lee Myung-bak berkata, berita terbabit benar-benar sukar dipercayai dan menyifatkan kematian Roh sebagai menyedihkan dan satu tragedi, kata jurucakap presiden, Lee Dong-kwan.
Roh Mooo-hyun

Kejadian bunuh diri pertama membabitkan pemimpin moden Korea Selatan itu mengejutkan seluruh negara. Kebanyakan penduduk berkumpul di hadapan monitor televisyen di stesen keretapi utama Seoul menonton siaran berita berkenaan.

"Saya kecewa. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana kesukaran beliau," kata Park Kyung-hee, 46, yang ditemui di Seoul.

Roh, seorang bekas peguam hak asasi manusia yang berkhidmat sebagai presiden dari 2003 hingga 2008 berbangga dengan dirinya sebagai seorang ahli politik bersih di sebuah negara yang terkenal dengan rasuah.

Bagaimanapun, beliau dan keluarganya sejak beberapa minggu lalu dikaitkan dengan skandal rasuah.

Bulan lalu, pendakwa menyoal siasat Roh selama 13 jam mengenai dakwaan beliau menerima lebih AS$6 juta (RM21.6 juta) dalam bentuk rasuah daripada seorang ahli perniagaan Korea Selatan yang ditahan ketika perkhidmatan beliau yang disifatkan sebagai satu dakwaan yang amat memalukan beliau.

"Saya tidak tahu bagaimana untuk berhadapan dengan rakyat. Saya meminta maaf kerana mengecewakan anda," kata Roh dalam keadaan penuh emosi pada 30 April lalu sebelum menjalani siasatan di hadapan pendakwa.

Roh, bagaimanapun, mendakwa bahawa isterinya menerima AS$1 juta (RM3.6) daripada Park Yeon-cha, ketua sebuah syarikat pengeluar kasut tempatan sambil menegaskan ia bukan rasuah.

Beliau juga menyedari bahawa Park turut memberi AS$5 juta (RM18 juta) lagi kepada seorang saudaranya tetapi berpendapat itu satu pelaburan. Pendakwa mengesyaki AS$6 juta yang diterima Roh adalah wang rasuah.

Beberapa bekas pembantu Roh dan sekutunya turut disiasat atas dakwaan disyaki menerima wang daripada Park. – AP

No comments:

Post a Comment