Sunday, May 24, 2009

Wanita Kuwait buat kejutan

Wanita Kuwait buat kejutan

Susunan Nurul Hazren Masitom
nurulh@nstp.com.my


EMPAT ahli parlimen wanita Kuwait yang terpilih, dari kiri Massouma al-Mubarak, Aseel al-Awadhi, Rola Dashti dan Salwa al-Jassar.

Mula memenangi kerusi dalam parlimen untuk pertama kali

KUWAIT mencatat sejarah apabila empat wanita julung-julung kali dipilih menduduki kerusi parlimen negara itu, kejayaan hebat di negara Arab konservatif yang sering di dominasi lelaki.

Wanita diberi peluang mengundi dan bertanding jawatan parlimen pada 2005 namun gagal dalam pilihan raya sebelumnya untuk memenangi mana-mana kerusi di parlimen daripada 50 yang dipertandingkan.

“Keputusan pilihan raya kali ini amat mengejutkan ramai,” kata penganalisis politik Shamlan al-Eissa.

Kuwait, satu daripada beberapa negara yang mengamalkan pemerintahan demokrasi di Teluk, mengetuai rantau itu dengan memberi penduduknya hak berpolitik. Sesetengah pengkritik bagaimanapun berkata, kestabilan politik dan ekonomi negara itu terjejas akibat kerapnya pertelagahan di antara parlimen dipilih rakyat dan Kabinet yang masih dipilih dan diketuai oleh keluarga pemerintah.

Pilihan raya 16 Mei lalu adalah hasil pertelagahan sedemikian, yang menyebabkan pemerintah Kuwait, Sheikh Sabah al-Ahmad al-Sabah, mengadakan pilihan raya selepas membubarkan parlimen dua bulan lalu bagi menamatkan pertikaian di antara parlimen dan kerajaan yang dipengaruhi hebat oleh keluarga pemerintah.

SEORANG wanita di pusat pengundian di Rumaithiya.

Tindakan itu membenarkan kerajaan dan al-Sabah meneruskan pakej rangsangan berjumlah AS$5 bilion (RM17.69 bilion) bagi mengurangkan kesan krisis kewangan global.

Parlimen baru itu perlu memberikan kelulusan retrospektif terhadap pakej rangsangan ekonomi berkenaan yang sudah pun dilaksanakan kerajaan.

Bagaimanapun ramai ahli parlimen yang baru dipilih berazam ketika kempen mereka untuk membantah rang undang-undang itu, yang mana MP pembangkang lantang Mussallam al-Barrak menggambarkannya sebagai jaminan bagi “jerung pelaburan.”

Kuwait yang mempunyai 1.1 juta rakyat dan kira-kira 2.35 juta penduduk asing ia bergantung kepada hasil minyak yang mewakili 10 peratus daripada simpanan minyak global.

Seorang daripada wanita yang dipilih Massouma al-Mubarak, juga adalah bekas menteri Kabinet wanita pertama negara itu pada 2005. Seorang lagi pemenang wanita adalah aktivis hak asasi wanita Rola Dashti, profesor pendidikan Salwa al-Jassar dan profesor falsafah Aseel al-Awadhi.

Mubarak, seorang profesor berpendidikan dari universiti Amerika Syarikat menghabiskan masa setahun sebagai Menteri Perancang sebelum dilantik Menteri Pengangkutan pada 2006 dan Menteri Kesihatan setahun kemudian. Beliau meletak jawatan pada 2007 akibat tekanan terutama daripada timbalan menteri parti Islam berhubung cara beliau menguruskan satu kebakaran hospital.

Dashti pula seorang pakar ekonomi berpendidikan Amerika adalah ketua aktivis hak asasi wanita berhubung pembaharuan demokratik dan ekonomi. Dashti adalah wanita pertama dipilih untuk mempengerusikan Persatuan Ekonomi Kuwait. Beliau memiliki ijazah kedoktoran dalam Ekonomi Kependudukan dari Universiti John Hopkins dan disenaraikan antara 20 wanita terkenal Arab oleh akhbar Financial Times tahun lalu. Dashti juga adalah anggota majlis perancang agung Kuwait dan bekerja sebagai perunding Bank Dunia. Beliau bertanding dalam kedua-dua pilihan raya 2006 dan 2008 namun gagal memenangi sebarang kerusi.

Awadhi yang dilahirkan pada 1969, adalah seorang profesor falsafah di Universiti Kuwait dan mendapat pendidikan dari Amerika Syarikat. Beliau bertanding dalam pilihan raya 2008, berganding dengan blok parlimen Pakatan Demokratik Nasional dan berada di kedudukan ke-11, tertinggal satu tempat di belakang 10 calon yang memenangi kerusi dalam kawasan parlimennya. Beliau juga bertanding sebagai calon bebas tahun ini.

Jassar, seorang profesor pendidikan di Universiti Kuwait. Mendapat pendidikan di Amerika Syarikat juga adalah seorang aktivis hak asasi wanita terkenal dan mempengerusikan Pusat Kuasa Wanita. Jassar juga bertanding namun gagal dalam pilihan raya 2008.

Enam belas wanita adalah antara 210 calon yang bertanding dalam pilihan raya lalu. Kira-kira 384,790 rakyat Kuwait, 54.3 peratus daripadanya wanita, layak mengundi.

“Ia membuktikan tiada apa yang mustahil. Ia adalah kejayaan untuk rakyat Kuwait dan semangat mereka untuk berubah.

“Saya memenangi kepercayaan tiga emir (apabila menjadi menteri dalam tiga kabinet). Kini saya memenangi kepercayaan rakyat Kuwait,” kata Mubarak kepada AFP, ketika beliau menyambut kejayaannya bersama ramai penyokongnya. Ketika ini, terdapat dua menteri wanita dalam kabinet seramai 16 anggota.

Mubarak berkata beliau akan memfokuskan untuk cuba mencapai kestabilan dalam Kuwait yang digegarkan dengan pergolakan politik sejak tiga tahun lalu.

“Saya juga akan bekerja untuk mencapai hak kebebasan dan sosial wanita selepas mereka mendapat hak berpolitik,” tambahnya.

Sebagai tambahan, wanita juga membentuk lebih 44 peratus daripada tenaga kerja di Kuwait, peratusan tertinggi di negara Teluk Arab.

Awadhi, yang memang diramalkan untuk menang namun tidak mendapat tempat tertinggi, berkata beliau akan memberi fokus kepada ekonomi, kesihatan, pendidikan dan perundangan yang menguatkuasakan hak sosial wanita.

Beratus penyokongnya menyerbu ibu pejabat pilihan raya Awadhi, khemah besar dengan pendingin hawa di pinggir bandar Kuwait.

Sukarelawan dan penyokong memeluknya dan menyanyi ketika televisyen negara mengumumkan keputusan pilihan raya menunjukkannya selesa di tempat kedua. Jassar, seorang profesor menggelar pilihan raya yang baru berlalu sebagai saat paling bersejarah.

“Kejayaan wanita adalah saat bersejarah kerana mereka memenangi kerusi parlimen menerusi pilihan raya dan bukan kuota,” katanya dalam satu kenyataan.

Keputusan pilihan raya menunjukkan golongan fundamental Islam kehilangan kedudukan mereka. Mereka hanya memenangi 16 kerusi Sabtu lalu, menurun berbanding 24 kerusi yang dipegang dalam parlimen sebelum ini.

Tiada parti politik di Kuwait, pengeksport minyak keempat terbesar dunia, namun parlimen biasanya di dominasi parti Islam dan individu puak terkenal yang membantah usaha kerajaan untuk mengenalkan pembaharuan di negara kaya itu dan menuduhnya terbabit dalam rasuah.

Walaupun sistem politiknya lebih banyak menggambarkan demokrasi Barat berbanding mana-mana negara di rantau Teluk Arab, Kuwait jauh ketinggalan di belakang jirannya yang mengubah diri mereka kepada pusat komersial, kewangan dan pelancongan yang menarik pelabur asing.

Antara puncanya ialah Parlimen sering menolak cadangan projek besar di Kuwait.

No comments:

Post a Comment