Sunday, May 24, 2009

Sri Lanka bakar mayat Prabhakaran

Sri Lanka bakar mayat Prabhakaran


Abu pemimpin gerila LTTE dibuang ke laut

COLOMBO: Pemimpin tertinggi tentera Sri Lanka, Sarath Fonseka dalam satu temubual mingguan yang akan disiarkan hari ini mendakwa pihaknya sudah membakar mayat pemimpin gerila pergerakan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), Velupillai Prabhakaran.

Jeneral Fonseka memberitahu akhbar Sunday Rivira, pengecaman positif yang menunjukkan mayat itu sememangnya Prabhakaran dibuat Selasa lalu selepas pertempuran di daerah Mullaittivu sehari sebelumnya.

"Kami membakar mayat itu di tempat yang sama dan melontarkan abunya ke Lautan Hindi," kata Fonseka.

"Malah, sebelum Prabhakaran terbunuh, saya tahu kami akan memenangi peperangan itu tetapi saya benar-benar gembira selepas mendapat pengesahan kematian beliau."

Fonseka yang mengetuai tentera bagi menghapuskan LTTE selepas hampir empat dekad menghadapi perang berkata, seluruh kepemimpinan LTTE sudah terbunuh.

Bagaimanapun, mayat ketua perisikan pemberontak itu, Pottu Amman dan isteri Prabhakaran, Mathiwadini belum lagi dapat dikenal pasti.

Pihak tentera berkata, mereka mungkin antara 250 rekrut LTTE yang dihapuskan dalam fasa terakhir pertempuran apabila anggota gerila terbabit dikepung di kawasan sempit.

Kerajaan turut menunjukkan rakaman mayat Prabharakaran selepas halaman web pro pemisah mendakwa beliau masih hidup dan sihat.

Bekas timbalan Prabhakaran, Vinayagamoorthy Mura-litharan yang belot pada Mac 2004 dan seorang bekas jurucakap gerila dikenali sebagai Daya Master terbang ke timur laut Selasa lalu dan mengesahkan mayat bekas ketua mereka.

Isnin lalu, sumber tentera berkata, Prabhakaran ditembak mati bersama dua timbalan beliau ketika cuba melarikan diri dalam sebuah ambulans dan van lain.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon pula melawat kem pelarian etnik Tamil di utara Sri Lanka dan merayu kerajaan 'merawat luka' selepas mengisytiharkan kemenangan ke atas pemberontak.

Hampir 300,000 penduduk awam Tamil dipindahkan daripada tempat tinggal kerana pertempuran dan dihantar ke kem pelarian di utara Sri Lanka. – AFP

No comments:

Post a Comment