Tuesday, May 19, 2009

Sri Lanka bebas ancaman LTTE

Sri Lanka bebas ancaman LTTE


TENTERA Sri Lanka bergambar di lokasi Prabhakaran
ditembak mati di timur laut negara itu, semalam.

Tentera bunuh pemimpin kumpulan pemisah, hapus saki baki pengganas

COLOMBO: Tentera Sri Lanka untuk kali pertama sejak 1983 menguasai keseluruhan wilayah negara kepulauan itu selepas menghapuskan saki baki pemberontak Harimau Tamil semalam.

Dalam pertempuran terakhir di bahagian utara negara itu, pasukan gerak khas tentera Sri Lanka berjaya membunuh pemimpin kumpulan pemisah, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), Vellupillai Prabhakaran, anaknya Charles Anthony dan orang kanannya, Pottu Amman (ketua risik) serta Soosai (ketua unit laut).

Panglima Tentera kerajaan, Leftenan Jeneral Sarath Fonseka, berkata pasukannya pagi semalam menamatkan tugas diberikan kepada mereka tiga tahun lalu oleh Presiden Mahinda Rajapaksa.

“Kami sudah membebaskan keseluruhan wilayah Sri Lanka selepas menghapuskan saki baki pengganas LTTE,” Fonseka memberitahu televisyen tempatan.

Di Colombo, penunjuk perasaan membaling batu ke arah Suruhanjaya Tinggi Britain dan membakar patung Menteri Luarnya, David Miliband.

Mereka turut mengecat perkataan “Ibu Pejabat LTTE” pada dinding suruhanjaya itu.

Miliband sebelum ini mengecam tindak-tanduk tentera Sri Lanka minggu terakhir perang itu dan bersimpati dengan penyokong pro-LTTE yang mengadakan tunjuk perasaan di luar parlimen Britain sejak beberapa minggu lalu.

Dalam tempoh kurang daripada tiga tahun, tentera Sri Lanka berjaya menyangkal kecaman pengkritiknya yang tidak yakin LTTE boleh dikalahkan.

LTTE yang berjuang sejak 1970-an untuk menubuhkan negara bebas, pada kemuncak kejayaannya mendirikan kerajaan di kawasan majoriti Tamil di utara Sri Lanka dan menggelar kawasan itu Tamil Eelam (tanah air Tamil).

Kumpulan pemberontak itu mengutip cukai, menubuhkan mahkamah dan memilik pasukan tentera, walaupun kerajaan Sri Lanka membiayai perkhidmatan kesihatan dan pendidikan di kawasan berkenaan.

Lebih 70,000 orang terbunuh dalam pertempuran dan serangan membabitkan LTTE sejak tahun 1980-an. - Reuters

No comments:

Post a Comment