Wednesday, May 20, 2009

LTTE dakwa Prabhakaran selamat

LTTE dakwa Prabhakaran selamat


IMEJ televisyen Sri Lanka semalam menunjukkan mayat yang disahkan sebagai Prabhakaran.

COLOMBO: Mati atau masih hidup? Saki baki anggota kumpulan Harimau Tamil Eelam (LLTE) semalam menafikan dakwaan kerajaan Sri Lanka bahawa pemimpin mereka Velupillai Prabhakaran dibunuh dalam serangan tentera kelmarin, manakala kerajaan pula berkata mereka sudah mengesahkan mayat itu sebagai ketua pemberontak berkenaan.

"Pemimpin kesayangan kami masih hidup dan dalam keadaan selamat. Beliau akan terus menjadi ketua dalam perjuangan maruah dan kebebasan rakyat Tamil," kata ketua hubungan antarabangsa Harimau, Selvarasa Pathmanathan dalam kenyataan disiarkan dalam laman web pro-pemberontak Tamilnet.

Pathmanathan bagaimanapun tidak memberi petunjuk kedudukan sebenar Prabhakaran, yang menjadi perancang utama perang selama 26 tahun yang meragut sekurang-kurangnya 70,000 nyawa.

Sementara itu, Panglima Tentera Sri Lanka, berkata mayat Prabhakaran sudah dijumpai dan disahkan pagi semalam.

"Berita baik yang diterima dari medan perang ialah mayat ketua pertubuhan pengganas yang memusnahkan negara ini selama 30 tahun, Prabhakaran, sudah ditemui oleh tentera pagi ini," kata Jeneral Sarath Fonseka ketika mengumumkannya menerusi radio semalam.

"Kami sudah mengenal pasti mayatnya."

Stesen televsyen swasta, Swarnawahini menunjukkan gambar mayat yang nampak seperti mayat pemimpin LTTE berkenaan, masih berseragam tentera hijau tua. Bahagian atas kepalanya ditutup dengan kain berwarna biru, kemungkinan untuk menutup kesan tembakan peluru di kepala.

Matanya terbuka dan memandang ke atas dan mukanya nampak bengkak.

Pengumuman Fonseka dilakukan beberapa jam selepas Presiden Mahinda Rajapakse menyampaikan ucapan kemenangan di Parlimen, dan mengisytiharkan negara berkenaan sudah 'dibebaskan' daripada keganasan selepas menumpaskan penentang Harimau Tamil di medan pertempuran.

Tentera kerajaan berkata kelmarin mereka menemui 300 mayat dalam kawasan 100 meter persegi tempat tentera Harimau terakhir diburu. Laman web pro-Harimau Tamil berkata tentera menjalankan 'pembunuhan besar-besaran'.

Wartawan tidak dibenarkan menghampiri zon konflik bagi menyaksikan kawasan pertempuran selepas itu. - Agensi






LTTE nafi Prabhakaran terbunuh

COLOMBO 19 Mei - Pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) hari ini menafikan pemimpin mereka, Vellupillai Prabhakaran telah mati dibunuh oleh tentera Sri Lanka.

Ketua perhubungan antarabangsa LTTE, Selvarasa Pathmanathan dalam kenyataan yang disiarkan di laman web Tamilnet mendakwa, ketua pemberontak itu masih hidup dan dalam keadaan selamat.

"Pemimpin kita yang dikasihi masih hidup dan selamat. Dia akan terus memimpin perjuangan untuk mempertahankan maruah dan kebebasan kaum Tamil," kata Pathmanathan.

Tentera Sri Lanka semalam mengumumkan, Prabhakaran dan dua komander kanannya ditembak mati ketika mereka cuba melarikan diri daripada kepungan askar dengan menaiki sebuah ambulans.

Pathmanathan mendakwa kerajaan telah mengada-adakan laporan mengenai kematian Prabhakaran bertujuan untuk 'bermegah-megah' selepas mencapai kemenangan muktamad ke atas pemberontak LTTE.

"Kami menafikan laporan mengenai kematian beliau," katanya tanpa menyatakan di mana Prabhakaran berada sekarang.

Pathmanathan menuduh kerajaan dan tentera Sri Lanka melakukan 'jenayah terhadap kemanusiaan' dengan mendakwa para pemimpin kanan LTTE ditembak mati selepas dijemput untuk merundingkan syarat-syarat menyerah kalah. - AFP

No comments:

Post a Comment