Wednesday, May 20, 2009

Colombo usaha pujuk penduduk Tamil kembali

Colombo usaha pujuk penduduk Tamil kembali


COLOMBO: Presiden Sri Lanka, Mahinda Rajapakse semalam mengumumkan ‘kekalahan mutlak’ pemberontak Harimau Tamil dan berikrar untuk meneruskan usaha mencari ‘penyelesaian politik dalam negara’ bagi menamatkan konflik etnik sejak berdekad lalu.

Berucap di Parlimen dengan sebahagian daripadanya di dalam bahasa Tamil, Rajapakse berkata, kerajaan kini menguasai ‘setiap inci’ wilayah di pulau itu dan berjaya menghapuskan ‘keganasan’ dengan menewaskan tentera pemberontak kelmarin.

“Pemerintahan kini berkuat kuasa di seluruh negara. Kami berjaya menewaskan pengganas sepenuhnya,” kata beliau yang menegaskan kekalahan tentera Harimau Tamil adalah kemenangan seluruh rakyat dan tidak sepatutnya dilihat sebagai kekalahan penduduk minoriti Tamil.

Rajapakse berkata pentadbiran beliau percaya, konflik etnik di Sri Lanka memerlukan penyelesaian politik.

“Kami adalah kerajaan yang berjaya menewaskan keganasan ketika pihak lain memberitahu ia tidak mungkin dilakukan. Kita sudah menunjukkan boleh menyelesaikan masalah dan akan meneruskannya dengan menyelesaikan masalah politik dalam negara,” katanya dalam ucapan yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen.

Rajapakse berkata Sri Lanka akan berusaha mendapatkan bantuan antarabangsa untuk membangunkan semula wilayah timur dan utara negara itu yang terjejas teruk akibat perang selain menjadi kubu kuat Harimau Tamil.

“Apa yang kami perlukan daripada masyarakat antarabangsa bukan nasihat tetapi bahan dan peralatan untuk membantu usaha pembangunan semula,” katanya.

Lebih 250,000 penduduk Tamil yang melarikan diri dari zon perang kini ditempatkan di kem dikendalikan kerajaan, walaupun masyarakat antarabangsa terus menggesa mereka dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing secepat mungkin. - AFP

No comments:

Post a Comment